8 Tips Memaksimakan Keuntungan Dengan Barang Kemas

Kredit gambar: hargaemas.com.my

Sebagai wanita, memiliki koleksi barang kemas yang banyak dan pelbagai bentuk memang sangat mengujakan. Bahkan, barang kemas menjadi simbol status ekonomi satu-satu keluarga. Lagi banyak barang kemas si isteri pakai, lagi tinggilah ‘pandangan hormat’ masyarakat kepada keluarga tersebut. Jadi tak hairanlah kaum wanita suka beli barang kemas walaupun kadang-kadang sampai berhutang!

Walaupun barang kemas kurang sesuai sebagai item pelaburan, saya pun ada juga membeli sedikit barang kemas untuk tujuan perhiasan untuk diri sendiri dan anak-anak perempuan saya. Jika rakan-rakan nak beli barang kemas, selain untuk perhiasan diri, pastikan ianya juga boleh dijadikan harta. Saya syorkan ambil kira beberapa tips di bawah supaya kita dapat maksimakan keuntungan dengan barang kemas.

Tips 1: Beli barang kemas yang lebih tebal & padu sahaja
Alang membeli, menang memakai. Jika beli barang kemas yang memang hendak dipakai hari-hari, lebih elok beli yang lebih tebal dan padu. Ianya lebih tahan lasak dan tidak mudah bengkok, patah ataupun putus. Jadi, tak perlu risau kalau-kalau gelang tangan putus ketika tengah menumis sambal akibat haba / api masak yang terkena pada gelang tersebut. :-). Lebih sadis jika gelang yang putus tu terpaksa ditrade-in sehingga 25% di kedai-kedai emas. Lagi pun, barang kemas yang tebal dan padu dapat berikan bacaan ketulenan yang lebih jitu menggunakan densimeter bila-bila kita nak jual balik atau pajak kelak.

p/s: Densimeter ni alat yang ‘lurus bendul’. Kalau ada batu permata pada barang kemas tersebut ataupun barang kemas yang kosong (hollow), bacaan densimeter menjadi kurang jitu.

Tips 2: Beli barang kemas 916 atau 999 sahaja
Emas gred 916 (kandungan emas 91.6%) adalah emas yang biasanya ditempa untuk barang kemas sebab ianya lebih lasak dan tidak mudah lekuk. Kita boleh cek pada bahagian dalam atau belakang barang kemas dan di situ biasanya ditempa nombor ‘916’ atau ‘999’. Barang kemas 916 diterima meluas di Ar-Rahnu dan juga Bank Rakyat sebagai pajakan kalau kita perlukan tunai segera atau sebagai pusingan modal perniagaan.

Tips 3: Beli di kedai emas yang jual bawah harga retail FGJAM (Persatuan Pekedai Emas Malaysia)
Sebelum nak beli barang kemas, kena rajin-rajin tinjau harga di beberapa kedai emas dahulu. Biasanya harga yang dipaparkan di papan elektronik ataupun white board di kedai mereka adalah harga yang ditetapkan oleh FGJAM. Tapi kita masih boleh tawar-menawar untuk dapatkan harga yang lebih rendah termasuk kos upah. Barang kemas bukanlah barangan kawalan, jadi pekedai emas berhak menentukan margin keuntungan mereka sendiri.

Tips 4: Tinjau harga kos upah yang paling rendah sebelum beli
Keuntungan pekedai boleh dimanipulasi dengan mengubah kos upah sesuatu item barang kemas tersebut. Untuk design yang sama, kedai yang berlainan meletakkan kos upah yang berbeza-beza. Sebagai pembeli bijak, kita perlu cek di beberapa kedai terlebih dahulu untuk dapatkan penjimatan maksimum dari sudut kos upah. Sekadar ingatan bersama, harga yang dipaparkan di kedai emas belum termasuk dengan kos upah dan GST!

Tips 5: Beli barang kemas TANPA batu permata
Batu permata memang menambah seri kepada barang kemas. Tapi sayangnya ia tidak memberi NILAI TAMBAH kepada barang kemas tersebut terutamanya apabila kita nak gadaikan di Ar-Rahnu mahupun jual semula di kedai emas. Ini kerana, alat densimeter tidak dapat berikan bacaan yang tepat kepada barang kemas yang diikat dengan batu pertama. Lagi satu, kedai emas hanya akan kira berat emas berdasarkan gram emas tanpa batu permata sahaja. Oh!


Tips 6: Tinjau kedai yang terima trade-in dengan harga yang tinggi
Susut nilai yang standard yang digunakan oleh kedai emas ialah sekitar 25%. Sebelum nak beli barang kemas, tanyakan juga jika kedai tersebut sanggup menerima trade-in dengan susut nilai yang lebih rendah. Bagi sesetengah kedai, mereka hanya tetapkan 15% sahaja sebagai kadar susut nilai bagi barangan trade-in yang dibeli di kedai mereka sebelum ini. Kena pandai-pandai kaw-tim la kan.

Tips 7: Simpan resit belian asal
Sesetengah kedai emas menerima trade-in barang kemas pada harga yang lebih tinggi (susut nilai sekitar 18-20%) jika pemilik barang kemas dapat sertakan resit belian asal. Menurut mereka, resit belian itu memberikan lebih keyakinan kepada mereka untuk membeli balik barang kemas tersebut sebab hanya pemilik yang genuine akan memiliki resit belian. Jadi mereka tak perlu risau jika barang kemas tersebut adalah barang curi atau barang kes ragut!

Kredit gambar: Mirotapasaraya.com

Tips 8: Elak beli emas putih terutama pemilik kulit sensitif

Emas putih dibuat daripada campuran emas kuning, nikel dan beberapa campuran logam lain. Batu permata akan memancarkan sinar yang lebih menarik jika diikat dengan emas putih. Ini kerana emas putih diselaputi lapisan rhodium supaya lebih bersinar. Tapi lama-kelamaan sinar itu akan pudar dan pemilik perlu menyadur semula lapisan rhodium tersebut sekurang-kurangnya setahun sekali.
Walaupun emas putih lebih tahan lasak berbanding emas kuning tapi emas putih tidak mempunyai ‘second-hand value’. Ianya lebih bersifat kontemporari dan sesetengah orang yang memiliki kulit sensitif mungkin mendapat alergi jika memakai emas putih.

Semoga tips-tips yang dikongsikan ini dapat memberi panduan kepada rakan-rakan untuk membeli barang kemas yang boleh dijadikan sebagai perhiasan dan pelaburan jangka panjang. Inshaa Allah.

Emellia Maskor (PG041139)
012 3669 330
Seksyen U5, Shah Alam 

p/s: Sila SHARE artikel ini jika bermanfaat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *