Bila Waktu Terbaik…..?

Kredit photo: dreamstime.com

Ada 3 persoalan biasa yang selalu ditanya berkaitan urusniaga emas fizikal.
Bagi yang sudah ada sedikit pengetahuan tentang emas fizikal, dia akan mula terfikir untuk jadikan emas fizikal sebagai salah satu aset yang perlu disimpan. Persoalan biasa yang akan timbul ialah:

‘Bila waktu terbaik untuk BELI emas?’
‘Bila waktu terbaik untuk JUAL emas?’
‘Bila waktu terbaik untuk PAJAK emas?’

Secara peribadi bagi saya tidak ada satu jawapan pun yang sesuai untuk semua orang. Jawapan kepada semua persoalan itu adalah bergantung kepada pada posisi mana kita mahu berada.

‘Bila waktu terbaik untuk BELI emas?’

Posisi Penyimpan Emas – Mereka hanya tahu beli,beli dan beli selagi mereka ada duit lebihan yang tak pakai ataupun beli dengan duit simpanan jangka panjang. Tujuannya supaya aset yang disimpan itu kalis inflasi dan kalis bocor. Sama ada harga tengah naik atau turun, penyimpan emas tak berapa kisah sangat, asalkan duit mereka disimpan dalam bentuk emas fizikal.

Posisi Pelabur Emas – Mereka ini biasanya ada kemahiran asas membaca graf teknikal. Jadi mereka akan beli emas apabila harga emas dalam trend menurun atas faktor-faktor fundamental yang mereka boleh jangkakan. Yang penting, pelabur ini memang sudah bersedia dengan duit tunai yang secukupnya untuk membeli emas harga rendah.

Posisi Peniaga Emas – Bagi peniaga emas atau Dealer PG seperti saya, biasanya kami akan tambahkan simpanan emas & juga ready stock masing-masing ketika harga rendah. Inilah peluang kami untuk maksimakan keuntungan jualan apabila ada pembeli emas yang nak beli emas pada masa akan datang.

Secara ringkasnya, masa terbaik untuk beli emas ialah apabila ada duit lebihan yang nak disimpan untuk jangka panjang. Simpan emas lebih berbaloi daripada hakisan inflasi dan nafsu berbelanja yang tak pernah surut.

‘Bila waktu terbaik untuk JUAL emas?’

Posisi Penyimpan Emas – Bagi penyimpan emas, mereka takkan jual emas simpanan mereka melainkan benar-benar terdesak nak pakai duit. Ada penyimpan yang hanya pajakkan sahaja emas tersebut sementara waktu dan akan cepat-cepat tebus semula apabila sudah urusan mereka. Emas menyuntik rasa bertanggungjawab pemiliknya untuk dapatkan semula milikan penuh ke atas emas tersebut. Kalau simpan modal dalam bentuk tunai, memang lambat nak penuhkan semula dana modal.

Posisi Pelabur Emas
Pelabur emas hanya akan jual emas mereka apabila harga buy back sudah capai harga atau keuntungan yang mereka tetapkan seperti kenaikan harga emas 10% – 20%. Mereka tidak boleh tamak dalam menentukan keuntungan tersebut dan perlu menjualnya sebelum harga jatuh kembali. Pelabur emas juga perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi sebab tidak ada sesiapa pun yang boleh meramalkan secara tepat secepat mana mereka boleh capai peratusan keuntungan yang diharap-harapkan.

Posisi Peniaga Emas
– Bagi peniaga emas atau Dealer PG seperti saya, kami jual sahaja ready stock jika ada pembeli emas yang berminat. Guru saya menasihatkan agar stok yang dijual itu segera diganti walaupun setinggi mana harga emas ketika itu. Bukan apa, takut-takut ready stock semakin menyusut jika tidak ditambah segera.

Umumnya, waktu terbaik untuk jual emas ialah apabila kita perlukan duit tunai untuk pembelian aset lain seperti rumah sewa dan hartanah.

‘Bila waktu terbaik untuk PAJAK emas?’

Sebelum nak pajak emas, kita kena buat kira-kira terlebih dahulu supaya kita jelas dengan jumlah sebenar yang perlu dibayar ketika mahu menebus emas yang dipajak itu nanti.

Posisi Penyimpan Emas – Penyimpan emas tak perlu bersusah payah untuk buat pajakan emas yang ada semata-mata untuk tambahkan simpanan emas menggunakan duit pajak. Beli sahaja emas menggunakan duit lebih seperti biasa.

Posisi Pelabur Emas – Pelabur emas juga tak perlu nak pening-pening kepala dengan memajak emas tersebut untuk gandakan keuntungan tunai. Jual sahaja emas tersebut apabila sudah capai target yang dikehendaki.

Posisi Peniaga Emas – Bagi peniaga emas, adakalanya mereka akan memajak stok emas mereka dan wang yang mereka dapat itu dijadikan modal pusingan untuk beli lagi emas. Saya belum pernah lagi praktikkan cara begini sebab bimbang tersilap buat percaturan. Saya cuma tambah stok menggunakan duit sendiri sebab saya hanya penyimpan merangkap peniaga emas sahaja.

Kata salah seorang guru saya, “jika ada 100 cara untuk buat untung dengan emas, memajak emas adalah cara yang ke 101.” Maksudnya pajakan emas ini lebih banyak rugi berbanding untung jika tak kena gayanya..

Disebabkan emas fizikal ini adalah kekayaan yang 100% berada dalam tangan kita sendiri, pandai-pandailah kita uruskannya sebaik mungkin ya! 

Emellia Maskor (PG041139)
012 3669 330
Seksyen U5, Shah Alam 

p/s: Sila kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan yang lain jika bermanfaat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *