Buah kasih cinta antara benua

Assalamualaikum
Pulang dari kerja semalam, Kak Yati & Abang Din penyewa bilik rumah mak aku minta tolong dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Katanya ada seorang perempuan Indonesia yang hampir melahirkan hendak memberi anak. Mereka bercadang nak ambil anak tu sebagai anak angkat….
Kalau diikutkan penat, memang sangat penat dan rasa nak tolak je permintaan mereka berdua <jarak PJ – Klang tu hampir 25km>Tapi disebabkan aku rasa terhutang budi dengan mereka suami isteri, aku gagahkan diri jugak. Yelah, sejak arwah ayah tak ada, dengan Abg Din la kami sekeluarga akan minta tolong dari hal kecil macam baiki paip bocor sampailah betulkan atap rumah. Dengan Kak Yati pula, dialah jadi tukang urut peribadi kami sekeluarga. Mereka berdua pun tidak berkira sangat.
Berbalik pada cerita asal, lepas maghrib semalam, kami berempat (aku, mak aku, Kak Yati & Abang Din) pun pergi ke hospital. Sampai di sana, jururawat bertugas nasihatkan kami tunggu sehingga bayi itu lahir dan baru boleh proses pendaftaran anak angkat dan seterusnya melalui pegawai kebajikan yang ada di hospital. Lepas selesai bertanya soalan <mak aku yang banyak menyoal>, kami pun nak beredar balik. 
Tiba-tiba Kak Yati dapat panggilan dari perempuan Indonesia ni mengatakan dia sudah ada tanda-tanda melahirkan dan masa tu sudah ada di klinik. Kelam kabut juga dibuatnya kami ni. Kak Yati terus minta dia datang ke hospital naik teksi dan dia akan bayar tambang tu. Kami menunggu sambil isi perut di kantin hospital dan beranggapan dia datang bersama kawan serumah atau jiran terdekat.
Alangkah terperanjatnya kami bila dia tiba seorang diri di lobi hospital dan rasanya air ketuban dia dah pecah masa tu. Astaghfirullah…Aku dengan mak aku sekadar mampu beristighfar. Sungguh nekad perempuan ini! Dalam hati terbit rasa sayu dan sedih sangat. Kesian dia. Hanya kerana panahan cinta kilat, dia yang menanggung kepayahan seorang diri. Mujur dia tak buang anak itu tapi berusaha carikan keluarga angkat supaya nasib si anak terbela.
Mengikut cerita, perempuan Indonesia ni sudah bernikah dengan lelaki Pakistan di Malaysia <aku tak pasti ada dokumen pernikahan ataupun tidak>. Tapi bila perempuan Indonesia ni mengandung, si suami ni terus menghilangkan diri…<sungguh trajis>. 
Selesai urusan pendaftaran bersalin <sebenarnya tak berapa nak selesai sebab perempuan tu tak ada passport asli, yang ada passport fotostet>, kami cuba buka beg yang perempuan tu bawa bersama tadi. Sekali lagi aku hampir nak menangis….Tidak ada walau satu pun kelengkapan baby hata sehelai napkin sekalipun! Yang ada cuma baju si ibu sepasang dan sedikit kelengkapan mandi. Dompet pun aku tak nampak. Dari telefon yang dia tinggalkan, aku cuba tengok gambar-gambar yang ada. Mana lah tahu ada gambar sang suami tapi tak ada pulak. 
Kak Yati & Abang Din sebenarnya sudah ada 2 anak lelaki yang sekarang tinggal dengan nenek (mak Kak Yati) dekat Indonesia. Jadi bila dengar ada orang nak bagi anak perempuan, mereka berminat la nak ambil jadi anak angkat. 
Aku bukan mahu menjatuhkan hukuman pada mana-mana pihak, cuma pada aku, perempuan Indonesia ni pun tidak fikir panjang sebelum bernikah. Dia sangat berani memperjudikan nasib diri bila berkahwin dengan lelaki bukan senegara yang tak diketahui latar belakang keluarga dan diri. Bahagia cuma sekejap, tapi yang menanggung derita sampaikan terpaksa serahkan anak pada orang lain tu semua ditanggung sendiri. Benar jodoh itu sudah tersurat & kekal rahsia sehingga diijabkabulkan. Kita masih boleh memilih yang terbaik selagi ijab dan kabul belum bertukar ikrar…
Pada Kak Yati & Abg Din, syukur kalian dapat rezeki terindah yang tak disangka-sangka. Mungkin si kecil itu menjadi beban pada si ibu kandung tapi dia adalah anugerah yang tak ternilai bagi kalian. Dan malam tadi aku tinggalkan Kak Yati & Abg Din di hospital tu dengan satu pengalaman baru yang sangat berharga.
Untuk si kecil yang belum bernama setakat entry ini ditulis, aku doakan kau jadi sebaik-baik perhiasan dunia. Walaupun kau tidak boleh memilih dari rahim siapa kau dikandung & dilahirkan, tapi kau boleh memilih jalan-Nya sebagai panduan hidupmu. Sayangilah kedua-dua pasang ibu & ayahmu selayaknya.

Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
  S.e.e Y.o.u.
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *