Cara Saya Simpan Dulu Baru Belanja

“Asyik suruh simpan duit je, bilanya nak belanja” Bab simpan duit, memang kena diajar dan diingatkan berkali-kali. Bab berbelanja dan perabis duit, tu memang bakat semulajadi yang ada pada semua orang. Masa zaman sekolah dulu, kita diberi ‘duit belanja’ hari-hari. Jadi otak kita seolah-olah diprogramkan ‘asal dapat duit, mesti belanja’. Tuan Afyan Mat Rawi pernah menulis di FB beliau yang menarik minat saya. Beliau sarankan ibu bapa ubah perkataan yang sesuai untuk disebut setiap kali hulur ‘duit belanja’ kepada anak-anak. Mungkin ‘duit poket’ atau ‘duit makan’. Saya ikut saranan Tuan Afyan walaupun banyak kali terbabas masa mula-mula dulu.

Sebenarnya ‘simpan duit’ bukan fenomena baru. Kita dah lama diajar oleh Al-Quran seperti dalam Surah Yusuf untuk simpan dulu, baru belanja.

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.” (Surah Yusuf: 47)

Bila simpan duit, bukan bermakna kita tak keluarkan duit belanja langsung. Kita cuma simpan minimum 10% sahaja daripada pendapatan kita dan bakinya buat belanja untuk kelangsungan hidup. Masa mula-mula kerja dulu tahun 2005, saya join kumpulan ‘kutu duit’ dengan kawan-kawan ofis. RM100 sebulan; main kutu 10 orang. Dapatlah RM1000 dan target duit kutu tu ialah nak bayar roadtax dan insurans kereta. Saya pernah cuba simpan duit tu sendiri, tapi memang tak pernah cukup simpanan. Cuma bila fikir balik, takkan lah semua simpanan saya dalam bentuk ‘kutu’.

Ubah Cara Simpan Duit

Jadi saya tukar cara simpanan. Saya buat ‘standing instruction’ dengan bank untuk letak duit tu dalam satu pelan simpanan jangka panjang. Ala-ala force saving jugak. Alhamdulillah, dapat menyimpan jugak. Cuma bila nak pakai duit tambahan contohnya persiapan Hari Raya, saya dah mula panik. Saya pekerja swasta dan tak ada istilah ‘bonus raya’. Yang ada cuma ‘festive advance’ yang bermakna 50% gaji bulan depan dikreditkan dalam akaun bulan ni. Tak ke haru tu? Gaji bulan depannya cuma dapat 50% sedangkan komitmen yang nak dibayar tetap sama!

Saya tukar lagi cara simpan duit dengan potong siap-siap belanja tahunan kepada bajet bulanan. Contohnya

1) Roadtax dan insurans perlukan RM1200 setahun. Jadi setiap bulan, saya asingkan RM100 khas dalam Sampul 1.

2) Servis kereta perlukan RM300 setiap 3-4bulan. Saya asingkan RM100 khas dalam Sampul 2.

3) Untuk bajet raya, saya letakkan dalam RM1000. Ini pun saya asingkan RM50-RM100 dalam Sampul 3.

Sejak anak mula bersekolah, saya adakan Sampul 4 untuk bajet beli baju,kasut dan barang keperluan sekolah.

Rancang Duit Dengan Bijak

Walaupun secara asasnya sebahagian besar duit gaji perlu disimpan, ianya tetap akan dibelanjakan sebaik sahaja keperluan itu datang pada masanya. Bila kita ada simpanan yang sepatutnya, kita :

  1. Tak perlu pening untuk fikir daripada mana nak dapatkan bajet tambahan untuk memenuhi keperluan itu.
  2. Tak perlu usik duit kecemasan
  3. Tak perlu buat personal loan semata-mata untuk dapatkan tunai segera.

Pengurusan kewangan memang tak diajar secara formal di sekolah ataupun universiti. Banyak buku kewangan yang perlu dibaca dan saya bermula dengan buku ‘Jutawan Daripada Planet Jupiter’ tulisan Tuan Azizi Ali. Rasa penting menyimpan wang biasanya datang hanya bila sudah ‘tersepit’ nak guna duit…”Alangkah baiknya kalau dulu aku menyimpan….”

Emellia Maskor

012 3669 330

Dealer Kod: PG041139

Seksyen U5, Shah Alam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *