Emas: Simpan Dan Lupakan

Simpan duit macam orang bercinta. Tak dapat tengok orangnya, dapat tengok bumbung rumah pun jadilah. Tak dapat pegang kepingan-kepingan duit, dapat tengok angka-angka dalam buku akaun bank pun jadilah. Itulah tabiat saya dulu. Lepas simpan duit sikit dalam akaun bank, mulalah belek-belek buku akaun. Seronok tengok angka-angka tu meningkat. Cuma masalahnya, lepas tu asyik teringat-ingat jumlah duit yang terkumpul. Bila dapat SMS ada sales di shopping mall, saya jadi panjang akal untuk buat ‘kira-kira’ berapa bajet yang boleh ditarik daripada simpanan. Lagi parah bila akaun bank kita boleh pantau online. Maksudnya tak perlu beratur untuk keluarkan duit di mesin ATM, kita boleh je transfer duit ke akaun penjual, barang pos ke rumah. Aduh! Masa tu, duit memang keluar lebih laju daripada air paip.

Dinar Emas 916

Bila dapat ‘hidayah’ untuk buat simpanan secara serius, saya memang asingkan portion khas untuk beli emas. Sebelum adanya GAP, saya transfer sebahagian duit gaji (dalam RM200) ke akaun anak supaya duit tu tak bercampur dengan duit untuk bayaran komitmen lain. Dengan tabiat berbelanja sebelum ini, memang sangat mencabar untuk cukupkan duit beli 1 Dinar (emas 916). Seingat saya, harga dinar 916 masa tu sekitar RM600 sekeping. Jadi nak cukupkan RM600 untuk dapatkan 1 Dinar memang ‘azab’. Tapi bila dah berjaya tambah kepingan dinar, rasa seronok menyimpan tu datang dengan sendirinya. Lagipun bila simpan (pegang) emas, secara automatik kita terus fikir ‘nak simpan kat mana’. Berbanding bila ada duit banyak, biasanya kita fikir ‘apa yang aku boleh beli dengan duit ni’.

Paksa Diri Simpan Emas & Lupakan

Kalau ikut pakar-pakar kewangan peribadi, mereka memang sarankan kita wujudkan satu simpanan yang dipanggil ‘forgotten savings’. Simpanan untuk dilupakan supaya kita tak ada rasa keinginan untuk keluarkan simpanan tu dan belanjakan. Kita tak kisah pun jumlah sebenar simpanan kita asalkan ianya bertambah setiap bulan.

Sejak mulakan simpanan emas, saya rasa saya ‘tak ada’ duit yang banyak untuk dibelanjakan sesuka hati. Saya cuma tahu kepingan emas saya bertambah setiap bulan. Masa mula-mula buka akaun GAP, saya beli 2gram je. Bila cek penyata GAP, rasa nak menangis sebab rasa menyesal ‘takkanlah bertahun-tahun kerja, aku cuma ada 2gram emas je’ (walaupun masa tu sudah ada beberapa keping dinar 916)… Saya kena kejar balik masa yang terbuang dulu; yang leka tak menyimpan secara serius! Saya paksa diri untuk simpan sekurang-kurangnya 1gram setiap bulan tanpa gagal. Walaupun harga emas ada turun & naik, RM200 mesti ditukar jadi emas dalam akaun GAP. Sebahagian lagi duit gaji sebanyak 10% yang mesti disimpan itu, saya letak dalam akaun bank sehingga ianya bersamaan dengan jumlah 3 bulan pendapatan sebagai simpanan kecemasan.

Cukup Sekadar 1gram Setiap Bulan

Saya cadangkan rakan-rakan yang belum cukup dana kecemasan 3 bulan – 6 bulan gaji, simpanlah sekadar 1gram sahaja setiap bulan dan simpan duit selebihnya di Tabung Haji atau ASB. Saya tukarkan 10% duit gaji kepada emas kesemuanya hanya selepas cukup simpanan kecemasan.

Kenapa? Dengan harga emas yang turun dan naik dalam jangka pendek, jika kita ada simpanan kecemasan, kita tak perlu jual emas kita kalau kita perlukan duit segera. Kata mentor saya, simpanan kecemasan hanya boleh digunakan untuk tujuan yang betul-betul terdesak seperti beli motor baru (secara tunai) jika motor hilang & tak boleh pergi kerja. Kalau setakat nak tukar langsir dan perabot sempena hari raya, itu bukanlah ‘kecemasan’. Itu cipta alasan berbelanja.

Berduit Tapi Rasa Tak Berduit

Seronoknya simpan emas bila kita rasa kita tak ada duit yang banyak. Jadi kita tak panjang akal untuk beli itu & ini yang bukan keperluan. Duit dalam akaun bank pun sekadar ‘cukup-cukup’ je. Kalau gaji RM3000, duit dalam bank mungkin paling banyak pun RM10,000 (3bulan gaji). Apa yang penting, kepingan (gram) emas sentiasa bertambah setiap bulan. Kita cuma cek setahun (Hijrah) sekali je untuk pastikan sama ada kita dah layak keluarkan zakat atau belum. Berbeza sangat kalau kita simpan duit. Bagi orang biasa-biasa macam saya, duit simpanan jarang dikeluarkan zakat sebab duit tu tak pernah cukup nisab untuk dikeluarkan zakat…

 

Emellia Maskor

012 3669 330

Dealer Kod: PG041139

Seksyen U5, Shah Alam

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *